Wednesday, May 6, 2015

Ulat Tiket Pudu Raya

Hari ni ke KL menaiki bas untuk menyerahkan tender,  tetapi bila mahu pulang didapati bas penuh.  Rupanya esok cuti 1 May yang kebetulannya  jatuh pada hari Jumaat.
 
Maka beraya sakan rupanya orang KEI EL berpakat beramai2 balik kampung. Menurut Plus Liner bas yang kosong cuma ada keesokan malamnya, jam 7.

Adui,  sakit dahi sebab menepuk dahi sendiri. Esok dah janji dgn anak untuk memindahkan barangan beliau ke rumah sewa dari asramanya di Poli Behrang. Selepas  itu disebelah petangnya perlu ke Taiping atas urusan kerja.

Kalau tidak dapat pulang pada malam yang sama pasti semua jadual yang diatur akan tunggang terbalik. Maka ditekati diri membeli tiket dari ulat-ulat yang berkeliaran di kaunter -  kaunter di Pudu Raya.

Kalau Encik mahu balik Ipoh,  tiada problem.  Kami ada bas tambah,  sekarang sudah mahu bertolak di platform 5. Harga tiket RM40. Baik encik beli sekarang,  kalau tidak akan habis sekejap lagi kerana ramai orang.
Itulah pujukan ulat Tiket pemuda berbaju biru  yang dilihat masih muda di awal dua puluhan.

Dek kerana tiada pilihan,  dibeli juga tiket yang terlajak mahal dua kali ganda kelaziman.

Sebaik sahaja wang bertukar dengan tiket,  bergegas turun ke platform 5 mengejar bas seperti yang dinyatakan oleh pemuda tersebut.

Adui,  sekali lagi dahi menjadi sakit sebab sendiri yang tepuk apabila bukan sahaja platform kosong tanpa bas malah pemandu sebuah bas yang berada platform berhampiran dengan tersenyum berkata,

"Encik kalau tunggu bas itu sampai besok pun tak akan datang.  Encik dah kena tipu"

Dah agak dah.  Ulat memang tetap ulat.  Kerjanya kalau bukan menipu orang bukan ulat namanya.  Padam muka aku. Hanya boleh marah kepada diri sendiri.

Tetapi geram tetap ada.  Apa lagi bergegas kembali mencari ulat tiket anak muda berbaju biru yang menjual tiket tadi.

Sebaik saja ketemu,  pemuda tersebut boleh memusing storynya.  En,  bas tambahan tadi masih dalam perjalanan,  sila tunggu sekejap lagi.  Bertutur dengan yakin supaya mempercayai penjelasannya.

Maaf adik,  saya tukar fikiran.  Tidak jadi balik,  nak tidur KL saja malam ni. Minta pulangkan balik duit tiket. Pinta dengan lembut.

Walaupun pemuda itu seperti  keberatan,  dipulangkan juga duit tiket yang dijualnya.

Sahaja tidak mahu menujukan perasan marah dan berkeras semasa meminta wang dikembalikan, takut menjadi cerita lain pula. Sekurang - kurangnya dipulangkan kembali duit pun dikira sudah cukup bertuah.

Di dalam keadaan gusar memikirkan tidak boleh pulang ke Ipoh,  tiba -  tiba petugas di kaunter bas plus liner melambai -  lambai tangan mengumumkan plus liner menyediakan bas tambahan dan akan bertolak jam 8.30 di malam yang sama.

Apalagi,  berderu - derulah mereka yang mahu ke Ipoh berebut  membeli dan alhamdulillah dapatlah dibeli sekeping tiket yang amat berharga. Lega.....

Bas yang dikendalikan plus liner memang tidak menghampakan.  Tepat di jam 8.30 malam bertolak cuma kebiasaan perjalanan 2.30 jam menjadi 4 jam agak memenatkan.

Bas yang kebiasaannya mengikuti lebuh raya,  entah apa sebabnya pemandu memasuki menggunakan laluan lama.

Mungkin mahu mengelakkan kesesakan lalulintas gamaknya.  Malas untuk bertanya dan berjangka baik walaupun tidak menyetujuinya.

Walaupun penat dengan perjalanan yang lama, selamat juga sampai ke destinasi pada jam 1230 pagi.

Esok masih banyak kerja menanti.  Balik boleh berehat dan esok diharap semua yang dirancang  berjalan lancar.

Kita manusia hanya merancang namun hanya Allah yang mengetahuinya.

Selamat Malam......

Ustaz Selebriti Merapu

Maaf diatas tajuk yang agak kasar.

Bukan niat mahu merendahkan seseorang yang dianggap berilmu tetapi jika ilmu yang diberi itu mengelirukan adalah tidak salah rasanya untuk ditegur.  Jika tidak apa yang diajar boleh menjadi ikutan. Lebih lebih lagi rancangan sebegini mempunyai ramai pengikutnya.

Ceritanya begini.

Tidak beberapa lama dahulu lewat malam ketika menonton rancangan berbicara agama anjuran sebuah televisyen swasta tempatan,  saya terpegun dengan jawapan seorang  ustaz yang mengendalikan rancangan tersebut yang menjawab mengenai isu pemakaian topi keledar.

Tidak perlulah saya menamakan siapa ustaz selebriti itu memadailah saya menceritakan apa yang berlaku.

Di dalam rancangan tersebut seorang hadirin telah menanyakan hukum memakai serban ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Dengan selamba ustaz tersebut mengatakan tiada masalah memakai serban ketika menunggang motosikal kerana topi keledar tidak menjamin keselamatan kerana beliau pernah melihat kenalannya mati di tempat kemalangan jalan raya walaupun menggunakan topi keledar.

Oleh itu baginya,  tiada masalah serban menggantikan topi keledar kerana ajal dan maut bukan ditentukan oleh topi keledar.  Malah  dengan memakai serban memudahkan seseorang untuk menunaikan sembahyang di masjid.

Terpegun saya mendengar jawapannya.

Saya bukan mahu mempersoal ketentuan ilahi mengenai ajal dan maut seseorang.

Tetapi peraturan yang dibuat walaupun oleh manusia sudah tentu ada sebabnya.

Kepada yang mahu berserban ketika menunggang dan menyerah kepada tawakal untuk keselamatan dirinya adalah hak individu mereka.

Tetapi manusia sebegini bagi saya adalah hipokrit dan mementingkan diri.

Dikatakan hipokrit kerana tidak menghormati orang lain dalam mematuhi peraturan dan dikatakan mementingkan diri kerana tidak memikirkan kesan dan akibat terhadap orang jika tidak menggunakan topi keledar.

Di sini persoalannya,  tahukah ustaz kenapakah topi keledar diwajibkan penggunaannya oleh pihak berkuasa ketika menunggang motosikal.

Biar saya perjelaskan.

Topi keledar direka untuk menjaga bahagian kepala. Kepala adalah bahagian didalami anggota badan manusia yang paling sensitif.

Jika sesuatu kemalangan berlaku,  topi keledar dapat mengurangkan hentakan.

Jika hentakan terlalu kuat, adalah benar topi keledar juga tidak dapat menyelamatkan nyawa seseorang tetapi sekurang -  kurangnya dengan memakai topi keledar dapat menghindar bahagian kepala daripada pecah.

Kepala yang pecah bukan suatu yang elok.  Dengan otak bertaburan di jalanan,  bayangkan siapakah yang akan mengutip cebisan -  cebisan tersebut.

Yang sudah mati pasti tidak lagi mempedulikan untuk mengutip organnya sendiri.  Tetapi bagaimana pula dengan petugas -  petugas yang masih hidup.

Bukankah menyusahkan mereka mengutip organ -  organ manusia hipokrit ini.

Itulah antara sebab kenapa topi keledar wajib diguna ketika menunggang.

Kepada mereka yang hipokrit ini,  memakai topi keledar juga berpeluang memastikan jasad anda berada di dalam keadaan sempurna untuk disemadikan.

Kasihanilah juga Keluarga anda. Panduan dengan cermat dan selamat.

Wallahuaklam.