Monday, May 7, 2012

Budu Estete

Papan tanda pada jalan masuk estate
Nama estate ini kalau sekali dengar memang agak menarik. Seolah2-olah ada orang kelantan yang tak boleh melupakan budu yang membuka estate ini. Sebenarnya estate ini tidak ada kena mengena dengan orang kelantan. Budu Estate adalah sebuah ladang getah peninggalan British yang terletak di daerah Kuala Lipis, Pahang.

Nama estate ini diambil mungkin kerana kedudukan estate yang terletak di Mukim Budu, Benta Pahang.

Budu Estate mempunyai sejarah yang agak lama yang mana satu ketika dahulu pengurusan tertinggi estate adalah di monopoli oleh orang Eropah dengan majoriti pekerjanya adalah orang india diikuti dengan Melayu dan Cina,

Jambatan gantung dibina oleh pihak estete selepas
jambatan asal
dirosak banjir besar pada tahun  1971

Estate ini menjadi kenangan teman secara peribadi kerana ayanda dan bonda teman pernah bertugas diestete ini dan teman sendiri secara peribadi sempat mendiami estete ini sewaktu teman kecil.

Ayahnda teman telah pun lama bersara dan menurut ayahnda, beliau telah  bekerja diestate ini sejak beliau remaja sebelum berpindah. Ketika itu beliau bekerja sebagai penjaga injin dandang (boilerman).

Bonda teman pula diwaktu itu bekerja sebagai amah dirumah pengurus berbangsa Eropah di estate ini dan sehingga kehari ini bonda teman masih ingat dan sering menceritakan pengalaman beliau kepada cucu-cunya akan kerenah keluarga pengurus2 berbangsa Eropah ketika beliau masih bertugas. Banyak cerita2 bonda yang menarik untuk dikongsi yang mana teman jika ada peluang akan muatkan diruangan lain kelak.

Sewaktu kecil, seingat teman, estate ini mempunyai segala kemudahan asas untuk pekerjanya. Estate ini bukan sahaja menyediakan rumah untuk para pekerjanya malah terdapat sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak pekerja untuk belajar disamping sebuah hospital dalam menjaga kebajikan pekerjanya. Di estate ini terdapat sebuah bas awam yang sentiasa keluar masuk bagi membolehkan pekerja berhubung dengan dunia luar  dan yang paling menonjol adalah estate ini mempunyai sebuah rumah kelab (club house) yang walaupun eksklusif hanya untuk pengawai berbangsa Eropah berkumpul dan berhubung sesama mereka menunjukan kehebatan pengurusan berbangsa Eropah ketika itu yang mana telah memahami akan keperluan menjaga keselesaan pegawai dan pekerjanya dalam memastikan pengeluaran ladang ditahap yang paling optimum. 

Adalah sukar untuk dibayangkan estate yang hanya seluas 4,300 hektar ini dapat menyediakan kemudahan jauh lebih baik dari ladang-ladang yang seumpamanya ketika ini yang lebih besar. Ladang-ladang ketika ini sudah kurang atau tidak lagi menyediakan kemudahan seumpama itu. Ini mungkin disebabkan oleh pola pekerja ladang yang berbeza ketika ini  yang mana bergantung dengan pekerja asing.

Budu Estate dihari ini juga telah jauh berubah daripada Budu Estate dibawah pengurusan berbangsa Eropah dahulu. Budu Estate dihari ini yang telah beberapa kali bertukar milik, sudah tidak mempunyai apa yang ada dizaman kegemilanganya.

Estate ini jika dahulu getah adalah komoditi asasnya kini telah ditukar kepada kelapa sawit yang lebih mudah untuk di urus. Kilang getahnya juga telah ditutup, begitu juga dengan kemudahan hospitalnya. Rumah Kelabnya juga telah usang dan mungkin akan dirobohkan kerana tiada lagi keperluan pengunaannya seperti dahulu.

Apa pun Budu Estate adalah tetap meninggalkan kenangan dalam hidup teman.

 








No comments:

Post a Comment