Tuesday, January 8, 2013

Islam membenarkan bapa kahwin anak kandungnya?

ADAKAH Islam membenarkan seorang bapa mengahwini anak kandungnya? Menurut sesetengah pendapat Mazhab Shafi’e, begitulah. Anak yang dilahirkan di luar pernikahan, boleh dikahwini oleh bapa kandungnya sendiri.

Di Malaysia, yang lebih memberatkan pendapat Mazhab Shafi’e, Fatwa Kebangsaan Malaysia 1971 menyatakan bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya dan bapanya tidak boleh menjadi wali untuk anaknya. Ini bermakna bapa kandungnya dianggap bukan muhrim anak itu. Di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), walaupun kedua ibu bapa mengakui bayi itu anak mereka, pegawai-pegawai masih tidak akan mencatat nama bapa di sijil kelahiran anak tersebut.

Isu anak tak sah taraf ini dibincangkan semasa forum dianjurkan Sisters in Islam bertajuk Apa Ada Pada
Dr Juanda Jaya (Wiki commons)
Nama. Ketua Hakim Syariah Terengganu Datuk Ismail Yahya dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya adalah antara panelis. Mereka memanggil untuk penamaan anak tak sah taraf disemak semula kerana dikatakan tidak menepati konsep Islam serta mengaibkan. Mengapa di Malaysia masih tidak boleh membenarkan seorang bapa mengakui anak kandungnya sendiri di sisi undang-undang?

Nasab yang penuh kekeliruan

Dr Juanda Jaya (Wiki commons)
Semasa saya sendiri memperbaharui kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara baru-baru ini, di papan kenyataannya ada keratan akhbar soal jawab bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ia menerangkan bahawa tujuan anak tak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya ialah agar tidak wujud kekeliruan dalam nasab keturunannya.

Alasan kekeliruan itu menjadikan saya keliru. Takut keliru nasab keturunan, tapi tidak takut kalau anak itu terkahwin dengan bapa kandungnya sendiri? Atau dengan adik beradiknya sendiri, iaitu anak-anak bapanya dengan isteri lain, atau dengan adik beradik bapanya? Bukankah itu lebih huru-hara jadinya?

Mungkin saya saja yang keliru. Jakim sepertinya tidak keliru. Dengan jelas, Jakim menerangkan bahawa anak yang dilahirkan di luar pernikahan dianggap bukan muhrim bapa kandungnya dan juga bukan muhrim pada ahli keluarga bapa kandungnya.

Maka, oleh kerana secara perundangan fiqah, mereka tiada pertalian keluarga, bermakna dari segi hukum Syariah di Malaysia, seorang anak boleh mengahwini bapa kandung atau ahli keluarga bapa kandungnya.

Orang Islam takut ilmu?

Orang Islam suka benar petik hadith Nabi “Carilah ilmu sampai ke negeri Cina”. Nak tunjuklah betapa Islam cintakan dan meraikan ilmu pengetahuan. Tapi, apakah yang memetik hadith itu sendiri sebenarnya mahu mengikut saranan Nabi ini? Sepertinya ramai yang tidak.

Ramai orang Islam di Malaysia seolah-olah takut dengan ilmu. Seperti ada ilmu yang halal dan ada ilmu haram, ada ilmu yang datang dari Allah dan ada ilmu yang bukan datang dari Allah.

Jadi bila ada masalah dalam masyarakat, yang dicari hanyalah “sumber-sumber Islam” iaini kitab-kitab lama dan pendapat ulama zaman silam yang hidup beratus atau lebih seribu tahun dahulu.

Itu pun ditapis lagi, iaitu yang diambil sebagai sumber rujukan hanyalah ulama yang dia setujui sahaja. Jadi, jangankan nak baca buku-buku dan pendapat sarjana dari Cina, India atau Barat, malah kitab-kitab tulisan dari mazhab-mazhab lain dalam ahli sunnah wajamaah sendiri pun dia takut nak rujuk. Takut terkeliru.

Ulama Islam dulu pelajari pemikiran Barat

Ibnu Rushd (Wiki commons)
Umat Islam juga suka benar berbangga tentang kehebatan saintis-saintis Islam, yang semuanya hidup di zaman silam, seperti Ibnu Sina dan Ibnu Rushd. Tapi mereka lupa bahawa ramai saintis Islam agung itu juga menimba ilmu dari Barat seperti Yunani (Greece) atau kerajaan Rom. Ramai ulama besar seperti Imam Ghazali dan Al-Farabi juga mempelajari falsafah Aristotle, Plato dan Socrates. Sama ada mereka setuju dengan kesuluruhan pemikiran ahli falsafah Barat itu atau tidak, itu hal kedua. Yang penting, mereka tidak sensor atau mengharamkan diri mereka atau orang lain dari terdedah pada pemikiran Barat yang hebat.

Berapa ramai agaknya tokoh agama di Malaysia yang pernah baca dan pelajari ilmu falsafah Barat?

Saya pernah mengunjungi Formaci (Forum Mahasiswa Ciputat), sebuah persatuan mahasiswa di Universiti Islam Negeri, Jakarta dan bertemu dengan beberapa mahasiswa di sana. Saya rasa nak menangis bila melihat di papan putih mereka tersenarai jadual diskusi yang membincangkan buku pemikir-pemikir hebat seperti Plato dan Aristotle dan juga Karl Marx, Friedrich Hegel, Immanuel Kant dan sebagainya. Mahasiswa dari pelbagai jurusan bertemu beberapa hari sekali untuk berdiskusi kerana mereka mengatakan semasa di pesantren (madrasah), mereka hanya terdedah pada ilmu-ilmu keagamaan. Maka, bila sudah di universiti mereka mahu mengambil peluang untuk memahami dan terdedah pada pemikir-pemikir hebat dari Barat.

Maka tidak hairanlah mengapa Indonesia boleh mempunyai pemikir dan sarjana yang hebat seperti Cak Nur (Nurcholis Majid) dan Gus Dur (Abdur Rahman Wahid). Mereka tidak takut pada ilmu.

Membolehkan anak dibin atau dibintikan bapanya

Ulama dahulu bukan saja tidak takut mencari ilmu, tapi mereka juga tidak gentar atau cepat keliru dengan perbezaan pendapat.

Ramai ulama besar dalam Mazhab Maliki, Hanbali, dan Hanafi yang berpendapat anak yang dilahirkan di luar pernikahan boleh dibin atau dibintikan bapa kandungnya. Mereka juga menggunakan dalil-dalil agama yang kuat.

Apa berani kita mengatakan mereka salah atau ilmu mereka cetek? Mengapa tidak kita kaji apakah hujah-hujah yang mereka utarakan? Manalah tahu ada antara pendapat mereka lebih bersesuaian dengan konteks masyarakat kita di Malaysia sekarang ini. Lagipun, banyak juga pendapat mazhab lain yang turut digunapakai di Malaysia seperti dalam hal pembayaran zakat fitrah.

Bukankah Islam meraikan kepelbagaian pendapat, dan objektif utama Islam ialah untuk memudahkan dan mencapai keadilan?

Hak asasi anak

Jakim dan undang-undang Mahkamah Syariah di Malaysia menetapkan bahawa bapa kandung anak tak sah taraf tidak dipertanggungjawabkan untuk menafkahi anaknya. Tanggungjawab memberi nafkah, saraan dan penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Anak tak sah taraf juga tidak boleh mewarisi harta bapa kandungnya.

Adilkah undang-undang ini terhadap anak yang tidak berdosa?

Bukankah orang Islam sendiri yang selalu kata setiap bayi yang dilahirkan itu suci bersih? Dia tidak berdosa dan tidak menanggung dosa orang lain.

(agastecheg / sxc.hu)
Setiap bayi yang dilahirkan di dunia ini mempunyai banyak sekali hak-hak asas. Di peringkat antarabangsa, inilah yang dinamakan sebagai hak asasi manusia. Antara hak-hak asas setiap bayi atau kanak-kanak di muka bumi ini ialah hak untuk mendapatkan:

perlindungan dan kasih sayang;
makan dan minum;
pendidikan;
kehormatan diri (self-dignity);
perlindungan dari penganiayaan;
keadilan.

Jadi, jika anda mengatakan hak asasi itu ciptaan Barat dan merupakan sesuatu yang asing dalam Islam, maka bermakna anda sendiri yang mengakui sememangnya Barat lebih hebat dari Islam.

Teladan Indonesia

Alhamdulillah, tidak perlu menoleh ke Barat, negara jiran kita pun telah mengambil langkah berani dalam memberi keadilan kepada anak yang berstatus tak sah taraf.

Pada 17 Feb 2012, Mahkamah Konstitusi Indonesia telah meminda undang-undang perkahwinan Indonesia. Pindaan itu mengiktiraf hubungan darah dan hubungan sivil antara anak tak sah taraf dengan bapa dan keluarga bapa kandungnya, yang boleh dibuktikan berdasarkan ilmu pengetahuan, teknologi atau alat bukti lain.

Ketua Mahkamah Konstutusi Mahfud MD berkata bahawa dengan itu, beban bukan lagi ditanggung oleh ibunya saja tetapi juga bapa anak itu. Ia juga bermakna bahawa anak tak sah taraf juga mempunyai hak penuh sebagai anak kandung, termasuk hak waris.

Bilakah Malaysia mahu melangkah ke depan seperti Indonesia?

Masyarakat Islam Malaysia masyarakat penghukum?

Bila ada kes perempuan buang bayi, maka berteriaklah sesetengah orang Islam mencaci maki dan mahu menghukum perempuan yang membuang bayinya. Marahlah juga mereka pada rumah-rumah perlindungan untuk wanita-wanita yang hamil di luar pernikahan kerana dikatakan menggalakkan zina.

Apabila ada wanita yang belum berkahwin hamil, masyarakat terus menghukum dan tidak peduli apakah mungkin wanita itu telah diperkosa, diperdaya atau terjebak dalam pemerdagangan manusia. Tiada langsung belas ihsan. Mereka juga tidak mahu mempertanyakan mengapa mahkamah syariah tidak mempertanggungjawabkan bapa kandung anak itu untuk menafkahinya.

Orang Islam suka kata Islam itu adil, tapi masalahnya ialah ramai antara kita sendiri yang tidak tahu bagaimana menterjemahkan keadilan itu. Tambah celaka lagi bila kita yang tidak berupaya memahami dengan mendalam dan merealisasikan keadilan itu mengatakan “inilah Islam”.
Pautan : 
http://national-express-malaysia.blogspot.com/2012/03/islam-membenarkan-bapa-kahwin-anak.html

No comments:

Post a Comment