Wednesday, May 6, 2015

Ustaz Selebriti Merapu

Maaf diatas tajuk yang agak kasar.

Bukan niat mahu merendahkan seseorang yang dianggap berilmu tetapi jika ilmu yang diberi itu mengelirukan adalah tidak salah rasanya untuk ditegur.  Jika tidak apa yang diajar boleh menjadi ikutan. Lebih lebih lagi rancangan sebegini mempunyai ramai pengikutnya.

Ceritanya begini.

Tidak beberapa lama dahulu lewat malam ketika menonton rancangan berbicara agama anjuran sebuah televisyen swasta tempatan,  saya terpegun dengan jawapan seorang  ustaz yang mengendalikan rancangan tersebut yang menjawab mengenai isu pemakaian topi keledar.

Tidak perlulah saya menamakan siapa ustaz selebriti itu memadailah saya menceritakan apa yang berlaku.

Di dalam rancangan tersebut seorang hadirin telah menanyakan hukum memakai serban ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Dengan selamba ustaz tersebut mengatakan tiada masalah memakai serban ketika menunggang motosikal kerana topi keledar tidak menjamin keselamatan kerana beliau pernah melihat kenalannya mati di tempat kemalangan jalan raya walaupun menggunakan topi keledar.

Oleh itu baginya,  tiada masalah serban menggantikan topi keledar kerana ajal dan maut bukan ditentukan oleh topi keledar.  Malah  dengan memakai serban memudahkan seseorang untuk menunaikan sembahyang di masjid.

Terpegun saya mendengar jawapannya.

Saya bukan mahu mempersoal ketentuan ilahi mengenai ajal dan maut seseorang.

Tetapi peraturan yang dibuat walaupun oleh manusia sudah tentu ada sebabnya.

Kepada yang mahu berserban ketika menunggang dan menyerah kepada tawakal untuk keselamatan dirinya adalah hak individu mereka.

Tetapi manusia sebegini bagi saya adalah hipokrit dan mementingkan diri.

Dikatakan hipokrit kerana tidak menghormati orang lain dalam mematuhi peraturan dan dikatakan mementingkan diri kerana tidak memikirkan kesan dan akibat terhadap orang jika tidak menggunakan topi keledar.

Di sini persoalannya,  tahukah ustaz kenapakah topi keledar diwajibkan penggunaannya oleh pihak berkuasa ketika menunggang motosikal.

Biar saya perjelaskan.

Topi keledar direka untuk menjaga bahagian kepala. Kepala adalah bahagian didalami anggota badan manusia yang paling sensitif.

Jika sesuatu kemalangan berlaku,  topi keledar dapat mengurangkan hentakan.

Jika hentakan terlalu kuat, adalah benar topi keledar juga tidak dapat menyelamatkan nyawa seseorang tetapi sekurang -  kurangnya dengan memakai topi keledar dapat menghindar bahagian kepala daripada pecah.

Kepala yang pecah bukan suatu yang elok.  Dengan otak bertaburan di jalanan,  bayangkan siapakah yang akan mengutip cebisan -  cebisan tersebut.

Yang sudah mati pasti tidak lagi mempedulikan untuk mengutip organnya sendiri.  Tetapi bagaimana pula dengan petugas -  petugas yang masih hidup.

Bukankah menyusahkan mereka mengutip organ -  organ manusia hipokrit ini.

Itulah antara sebab kenapa topi keledar wajib diguna ketika menunggang.

Kepada mereka yang hipokrit ini,  memakai topi keledar juga berpeluang memastikan jasad anda berada di dalam keadaan sempurna untuk disemadikan.

Kasihanilah juga Keluarga anda. Panduan dengan cermat dan selamat.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment